Saturday 30 April 2011

DARI SARAWAK KE PUTRAJAYA?

Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd. Najib Tun Razak.


Rencana ini disiarkan dalam Utusan Malaysia sembilan hari sebelum berlangsungnya Pilihanraya Negeri Sarawak pada 16 April 2011 - M. Noor Azam.

PADA malam 16 April nanti rakyat Sarawak akan dapat kerajaan baru, sama ada kerajaan lama yang diperbaharui atau kerajaan yang betul-betul baru. Kerajaan lama terdiri daripada parti-parti yang lahir dan mati-hidup di Sarawak. Kerajaan baru kecuali SNAP adalah parti pendatang dan semua pemimpin besarnya dari Semenanjung.
Kata orang tua-tua, 'Berapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul'. Demikianlah, rakyat Sarawak sendiri dan pemimpin parti-parti Sarawak sendiri yang lebih tahu susah-senang mereka selama ini. Rakyat Sarawak tentulah akan memilih orang yang benar-benar tahu dan dapat merasa beban hidup yang mereka pikul, bukan orang yang datang sekali sekala untuk berpidato.

Jika fikiran mereka tenang dan pertimbangan mereka waras, pastilah mereka akan memilih pemimpin yang hidup bersama mereka dan kerajaan yang dekat di hati mereka. Siapa yang dapat memenangi hati dan fikiran pengundi dan bertindak merawat denyutan nadi kehidupan rakyat, pasti akan terpilih.

Ini tidaklah susah jika kerajaan Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang memerintah lebih 30 tahun, sentiasa memelihara rakyat yang sebenarnya tidaklah banyak sangat yang dipinta. Tetapi kiranya 30 tahun lamanya kepentingan, perasaan, fikiran dan persepsi rakyat dilupakan, pastilah kritik, tohmahan dan janji pembangkang melekat di hati rakyat.

Persepsi umum, walaupun tidak semesti semuanya benar, jika diperlekehkan pastilah peristiwa 8 Mac 2008 akan berulang.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini menjadi lebih penting kerana ia adalah permulaan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13. Jika kesemua 16 Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas PRU-12, adalah ujian untuk mengukur pengaruh BN dan parti-parti pembangkang, PRN Sarawak adalah permulaan persaingan sengit pihak pembangkang untuk menawan Putrajaya dan BN pula berusaha mempertahankannya. Datuk Seri Najib Tun Razak pun kata, PRN Sarawak ini akan menentukan bilakah PRU-13 akan diadakan.

Jika 16 September 2008 adalah percubaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk masuk ke Putrajaya melalui jalan pintas, PRN ini yang pertama kali selepas PRU-12 akan menentukan jaya atau tidaknya cita-cita politik Anwar itu dicapai menerusi jalan biasa. Ini adalah pertarungan sebenar, bukan lagi ujian pengaruh. Maka Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, awal-awal lagi turun ke medan pertempuran.

Ada yang menyebut Najib menggambarkan PRU-13 nanti sebagai 'do-or-die battle for the ruling group'. Sekiranya benar Najib berkata begitu, maka pertempuran hidup atau mati itu sudah bermula di Sarawak.
Kalau parti pembangkang dan Snap tidak berjaya menawan Sarawak, atau sekurang-kurangnya mendapat kemenangan besar, cita-cita Anwar akan mati di situ. Dengan Abdul Taib sebagai panglima medan dan imej positif Najib sekarang, saya melihat Anwar yang berada dalam situasi hidup atau mati, bukan BN dan Najib.
Bagaimanapun, jika iklim politik sekarang dan PRN Sarawak 2006 dijadikan landasan, kedudukan BN tidak boleh dikatakan selesa. Dalam PRN itu anggota BN, Sarawak United People's Parti (SUPP) yang didominasi kaum Cina, tewas lapan kerusi kepada DAP. Bagaimana SUPP, salah satu parti kelahiran Sarawak yang tertua boleh tewas kepada pendatang baru, DAP dari Semenanjung? Apakah ini akan berulang?

Persepsi dan perasaan umum terhadap kerajaan, menjadikan iklim politik di Semenanjung dan juga di Sarawak, masih belum begitu nyaman untuk BN. Generasi muda terutama pengundi bandar dan pinggir bandar sangat percaya kerajaan sekarang tidak telus dan tidak bersih. Dikatakan masih banyak rasuah dan penyelewengan wang dan harta benda rakyat.

Generasi muda tidak sabar menunggu perubahan pimpinan parti dan kerajaan. Mereka sangat ingin melihat pemimpin-pemimpin baru yang berwibawa, bersih dan berkaliber ditampilkan ke depan. Pemimpin lama dirasakan semakin jauh dari mereka. Namun pengalaman masa lalu dan apa yang mereka nampak jelas, perubahan ini tak mungkin tiba. Ditambah dengan faktor kaum, mesej daripada iklim politik baru ini, sudah mulai diterjemahkan dalam PRK Sibu kira-kira 10 bulan yang lalu.

Kemenangan tipis DAP di Sibu, kubu kuat BN sudah cukup membakar semangat penyokong pembangkang, khususnya Cina dan pribumi bukan Islam. Isu-isu sensitif kecil seperti penggunaan perkataan Allah dan Injil dalam bahasa Melayu pasti akan dieksploitasi oleh pihak pembangkang. Maka keputusan BN Sarawak meletakkan 18 muka baru, tentu memberi kesan yang positif.

Sebenarnya apa yang terjadi kepada SUPP dalam PRN Sarawak 2006 itu sudah pun jadi petunjuk kepada apa yang bakal berlaku di Semenanjung pada PRU 2008.

Kalau apa yang terjadi di Sarawak pada 2006 itu diberi perhatian serius, kekalahan menyakitkan yang dialami oleh MCA dan Gerakan di Semenanjung pada PRU-12, mungkin tidak berlaku.

Malangnya, kemenangan BN paling hebat pada 2004 menjadikan pemimpin dan wakil rakyat BN , khususnya MCA dan Gerakan, senang dan leka. Nyatalah, kekuasaan dan kemewahan menyebabkan manusia lupa diri.

Tuesday 26 April 2011

NATIJAH DAN MESEJ PENGUNDI DI SARAWAK


 
 Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak.

“Apakah Tan Sri sudah jangka BN menang 55 kerusi?" Ini soalan wartawan dalam sidang akhbar kedua Tan Sri Abdul Taib Mahmud, selepas dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak kali ketujuh.
Jawapannya di luar jangkaan saya. Rupa-rupanya kemenangan 55 kerusi itu bukan lagi perkara penting kepada beliau.

Jawapan Abdul Taib: “Saya telah jangka keputusan ini. PBB akan menang 100 peratus. Namun ada polarisasi kaum dalam trend pengundian ditunjukkan dalam pihak pembangkang dan ia suatu yang tidak sihat untuk Sarawak. Saya mengambilnya sebagai luahan perasaan para pengundi.

“Apakah natijahnya, saya sendiri tidak tahu dan saya sedang memikirkan cara untuk menghadapi situasi ini. Hanya ada dua calon Cina (BN) yang memenangi pertandingan kali ini.
“Saya perlu meneliti perkembangan ini dengan sebaik-baiknya untuk memahami apa mesej yang ingin disampaikan oleh masyarakat Cina kepada kerajaan. Jika mereka ingin menggunakan pendekatan perkauman, ia adalah sesuatu yang tidak boleh saya penuhi kerana ia akan menimbulkan situasi tidak elok di antara kita.”
Apabila ditanya: “Apa komen tentang Presiden SUPP, Tan Sri George Chan?" Beliau menjawab: “Hanya, apakah yang akan kita buat dengan mesej daripada orang Cina.

“Seperti saya katakan, jika mereka mahu mengguna pakai politik perkauman, itu adalah sesuatu yang tidak boleh kita benarkan. Walaupun ia sah, kita akan mundur dalam perkembangan sebegitu.”

Menjawab pertanyaan mengenai Kabinet baru, kata Abdul Taib: “Saya tidak mahu jawab sekarang kerana kita mahu kaji dahulu apakah cara kita nak respon kepada keputusan ini.” (Utusan Malaysia, 18 April 2011).
Ini bukahlah mood orang yang baru menang besar dalam pilihan raya. Nampak benar betapa kecewanya Abdul Taib terhadap sikap politik masyarakat Cina di Sarawak.

Sebenarnya, ramai yang sudah lama tahu, apakah mesej dan matlamat politik mereka. Samalah dengan mesej masyarakat Cina di Semenanjung yang telah lama disampaikan melalui DAP.

Abdul Taib tentu sudah tahu. Di Sarawak mereka sudah mula tunjuk pada tahun 2006. Sehari sebelum kenyataan Ketua Menteri Sarawak itu disiarkan, Awang Selamat berkata dengan terus terang: “Hakikatnya, selepas menguasai ekonomi negara sebegitu lama, masyarakat Cina mahukan pengaruh dan kuasa politik yang dominan.” Kerana nak jaga hati, sebelum ini orang tak mahu cakap.

Sekarang ditunjukkan dengan terang-terang. Inilah matlamat “perubahan” yang dilaungkan oleh masyarakat Cina yang hendak dicapai melalui DAP.

Kekalahan SUPP di Sarawak itu adalah mesej dan amaran terbaru, susulan cita-cita yang tak tercapai pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008. Strategi kempen politik perkauman, yang sangat dikesalkan Abdul Taib, pasti akan terus mereka pergunakan.

Goh Kien Nan dalam tulisannya (Sin Chew Daily, 18 April 2011) menegaskan “fenomena orang Cina melawan arus bukan lagi hanya terbatas di Sarawak, sebaliknya rentak sama berlaku di seluruh negara. Ia bukan saja tidak reda, malah sudah menjadi begitu kuat, mungkin akan terus melarat, semarak dan membara sehingga PRU akan datang.” (Utusan Malaysia, 21 April 2011). Ini memang benar dan suatu amaran yang keras.

Maka apa pun cara Abdul Taib dan Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Najib Razak menangani situasi ini, natijahnya kepada negeri Sarawak dan negara seluruhnya, pasti tidak baik.

Api yang dikatakan Kien Nan “terus melarat, semarak dan membara” itu pasti akan membakar kita semua. Natijah inilah yang cuba dibendung oleh kerajaan, terutama selepas PRU 2008. Tetapi mereka tidak peduli. Alasan Kien Nan, “jasa masyarakat itu membangunkan negara ini dilupakan apabila segala kemahuan mereka diabaikan.”

Kemenangan besar BN di Sarawak, jelas sekali kerana sokongan semua suku kaum Bumiputera. Walaupun majoriti mereka hidup serba kurang dan jauh di pedalaman, cinta mereka kepada bumi tumpah darah tak pernah luntur.

Justeru apa pun dakyah pembangkang dari Semenanjung, mereka tetap menyerahkan masa depan kepada parti dan pemimpin Bumiputera Sarawak.

Natijahnya Abdul Taib tiada cara lain, kecuali terus memperkukuh barisan pertahanan dan membina kubu politik di kalangan rakyat Bumiputera.

Mereka mesti dibela sepanjang masa. Merekalah harapan bangsa dan negara. Tidak boleh lagi mengharapkan kerjasama daripada bukan Bumiputera.

Jika tindakan seperti ini terpaksa dilakukan juga di Semenanjung, maka akan jadilah perang politik Melayu melawan bukan Melayu, yang akan penuh dengan kebencian dan permusuhan. Situasi inilah yang cuba dielak selama 50 tahun dengan pelbagai tindakan sosial-politik-ekonomi.

Saya pernah cadang dalam dua tulisan saya Disember 2005, agar satu wadah Melayu yang baru, dipimpin oleh tenaga muda ditubuhkan. Bukan parti politik, tetapi tetap dengan perjuangan kebangsaan Melayu-Islam. Wadah ini patut dianjurkan oleh gabungan pertubuhan generasi muda Melayu, bukan oleh Umno.
Tujuan wadah ini bukan untuk melawan Cina, tetapi waktu itu nampak benar fikiran Melayu tidak menentu, seperti hilang pedoman dan sasaran. Badan-badan yang ada lemah tak berdaya. Masalah sosial-ekonomi tambah menjadi-jadi. Maka kita perlu wadah baru dengan tenaga baru, semangat dan pendekatan baru, tidak terikat kepada mana-mana parti politik.

Ikatannya hanya satu iaitu pribumi Malaysia. Sekarang wadah baru ini diperlukan. Perkasa sudah ada. Perkukuhkan saja?

PKR dan rakan-rakannya, termasuk DAP, memang berhak mencari jalan untuk memerintah negeri dan negara melalui pilihan raya. Tetapi mencari pengaruh dan sokongan melalui emosi benci dan membakar sentimen perkauman, adalah jalan yang amat berbahaya. Tidak akan ada lagi negeri Cina yang baru di sini selepas Singapura. Di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung.

Abdul Taib tegas menolak “pendekatan perkauman” tetapi beliau menegaskan “kita kena kaji dahulu apakah cara kita nak respon kepada keputusan ini dan apakah ertinya suara rakyat melalui pilihan raya ini.”
Mengkaji “ertinya suara rakyat” memanglah tepat sekali. Namun dengan apa cara pun, pemimpin dan kerajaan yang bertanggungjawab mestilah ada keberanian politik untuk mengambil tindakan.

Rakyat dan ibu pertiwi mesti diselamatkan. Kita hanya ada satu Bumi saja. Di sini kita berdiri, di sinilah kita mati. Siapa-siapa pun yang tak senang hati, jangan buka dada bawa angkara, nyahlah dari Bumi ini. — Utusan Malaysia, 23 April 2011
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...