Wednesday 18 May 2011

MENGAPA TS ARSHAD AYUB UNDI PEMBANGKANG?


           
                                
Tan Sri Arshad Ayub

Sebagai rakyat biasa dan juga pengundi (di Shah Alam yang turut dimenangi oleh calon Pas, YB Ir. Haji Khalid Abdul Samad), saya mungkin merasa gembira apabila undi saya kini nyata lebih bernilai dari sebelum Pilihan Raya Umum pada Mac 2008. Kerajaan pemerintah, baik di peringkat  negeri dan pusat mestilah bekerja keras to win the hearts and minds of the people from all walks of life including myself.” (Kertas seminar “Cabaran kepada Kepimpinan dan Anggota Perkhidmatan Awam” 30 April 2009 – Cetusan Minda Arshad Ayub, Hal.143)   
         Dalam petikan di atas TS Arshad tidak menyebut dengan jelas, “Di Shah Alam saya  undi pembangkang.”  Tetapi mesejnya terang, bahawa dalam PRU 2008 beliau undi calon Pas. Dan apabila calon itu menang, beliau  merasa undinya  “nyata lebih bernilai” daripada undi pada pilihan raya sebelumnya. Maknanya undi beliau pada pilihan raya yang lepas-lepas kurang bernilai kerana BNlah yang sentiasa menang. Kali ini, yang menang calon dan parti pilihannya. Begitulah fahaman saya.
         Petikan ini – walaupun pendek - adalah suatu pendedahan yang berani, dan jujur. Yang tersirat dengan sindiran politik yang cukup tajam. Bagaimana orang seperti TS Arshad sanggup membuat pendedahan terbuka seperti ini, sangat mengagumkan saya.
       TS Arshad bukan “rakyat biasa”. Beliau tokoh pendidikan dan tokoh besar pentadbir awam. Lebih 30 tahun dalam pentadbiran awam - sejak zaman kolonial. Bekas Ketua Setiausaha di tiga kementerian (bersara 1983), Timbalan Gabenor Bank Negara, Timbalan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi dan Pengarah Institut Teknologi MARA yang pertama (1967-1975) dan banyak lagi kedudukan penting yang lain dalam kerajaan dan swasta. Sekarang Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya dan Pro-Canselor UiTM.
       Beliau melanjutkan pelajaran di University College of Wales, Aberystwyth dan mencapai ijazah Bachelor of Science (Honours) in Economics and Statistics (1958).  Dianugerah 15 ijazah doktor kehormat dan anugerah pengiktirapan  jasa dan pencapaiannya dari berbagai institusi pengajian tinggi dalam  dan luar negeri, disamping anugerah kehormatan dari hampir semua negeri-istana di Malaysia.
 Setahu saya beliau tidak pernah terlibat dalam mana-mana gerakan
politik. Seorang tokoh birokrat yang setia pada tugasnya. Justeru penelitian dan pendapatnya bebas dari sebarang fahaman politik dan ideologi parti.
        Pengakuan peribadi yang terbuka dan kritik tajam  yang berterus-terang, dalam koleksi ini - dari  seorang “tokoh birokrat awam berkalibar” - pasti merangsang  minda pembaca yang prihatin terhadap masa depan Malaysia, khususnya bangsa Melayu.  Sungguhpun  ramai juga pegawai tinggi kerajaan yang punya sikap politik seperti beliau, tetapi belum pernah saya bertemu  pengakuan dan pendedahan yang terbuka begini.
       Koleksi Cetusan Minda ini, sudah cetakan kedua, tetapi saya baru dihadiahkan penerbitnya, International Institute of Public Policy and Management (INPUMA), Universiti Malaya, pada 31 Mac lalu. Ucapan dan  kertas seminar yang telah saya teliti, membicarakan aspek politik-ekonomi-pentadbiran  Malaysia yang kritikal, yang sedang di hadapi bangsa Melayu. Ucapan dan kertas inilah yang mendorong saya menulis komentar ini.
Bagi menjawab pertanyaan yang menjadi tajuk tulisan ini dan
memahami pemikiran TS Arshad dengan lebih jelas, saya akan membuat petikan yang banyak daripada ucapan beliau: “Pembangunan Melayu dan Realiti Perubahan Lanskap Politik Negara”, yang diucapkan di Petaling Jaya, 28 April 2008 – 50 hari selepas PRU Ke-12. (Hal. 2-9)

Kebobrokan Dalam Pimpinan Politik dan Pentadbiran Melayu
       Kata TS Arshad, “Sebenarnya apa yang berlaku pada 8 Mac 2008 bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Sudah banyak petanda yang telah ditunjukkan secara terang dan nyata, juga dalam keadaan tersirat, namun mungkin tidak diendahkan oleh kita semua, khususnya di kalangan pemimpin Melayu dari parti pemerintah.”
      Oleh sebab itu, “Persepsi bahawa pemimpin politik Melayu tidak prihatin dengan desakan dan kesusahan hidup rakyat biasa, akhirnya diterjemahkan dalam bentuk ‘undi protes’ dalam pilihan raya yang lalu.”
      Dalam renungan saya undi protes yang sangat banyak dan tiba-tiba itu adalah akibat daripada kes Anwar Ibrahim yang dikatakan “suatu konspirasi politik” yang dilanjutkan dengan gerakan “reformasi”,  ditambah pula bayangan kerajaan alternatif hasil gabungan PKR-Pas-DAP. Rangkaian ketiga faktor ini berlaku dalam masa kira-kira sepuluh tahun. Generasi muda pula inginkan perubahan kerana sudah terlalu lama diperintah BN, yang para pemimpinnya semakin jauh dari rakyat.  Anwar dipercayai boleh membawa perubahan dan lagi terasa dekat dengan rakyat pelbagai kaum, terutama generasi muda.
      Dalam jangka masa itu, “Kepimpinan politik Melayu terus dipersalahkan dalam banyak perkara khususnya yang membabitkan kualiti kehidupan rakyat yang semakin terjejas akibat daripada salahguna kuasa, penyelewengan dan rasuah, kelemahan dalam sistem penyampaian awam (public delivery system) dan projek ‘pembangunan’ yang dilihat terlalu memihak kepada golongan peniaga atau pemaju (developer) dan membelakangkan nilai dan kualiti kehidupan rakyat jelata.” Begitu sirius sekalikah keburukan kepimpinan Melayu? Mengapa pada tahun 2004  kemenangan BN besar sekali?
      Pada hemat TS Arshad, “Kepimpinan Melayu dikatakan semakin tidak peka dan tidak prihatin dengan keresahan rakyat dan semakin terpisah jauh dari realiti perubahan masyarakat yang semakin didedahkan dengan maklumat dan berita mengenai kelemahan pemimpin dan kepincangan dalam pelaksanaan program atau dasar kerajaan dari pelbagai sumber seperti media internet dan sms.”
      Mengenai perpecahan orang Melayu, kata TS Arshad, “ Punca utama perpecahan Melayu bukanlah kerana aliran pemikiran yang bebeza, tetapi lebih kepada persepsi atau mungkin salah tanggapan masyarakat bahawa wujudnya kepincangan dan ketidakadilan yang ketara dalam pengagihan ekonomi dan urustadbir negara.”
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------“Implikasi dari ini semua adalah pembiakan satu budaya ‘ampu bodek’ dan naungan atau ‘patronage’ yang  tidak membantu ke arah perpaduan Melayu, apatah lagi dalam menjana kecemerlangan orang Melayu”
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
        Bagaimana pun petikan di bawah ini jelas menunjukkan bahawa tanggapan rakyat itu bukan sekadar gambaran atau bayangan dalam hati atau fikiran; bukan juga “salah tanggapan”, tetapi adalah suatu yang benar dan nyata berlaku.
      Kata TS Arshad, “Pada hemat saya,  ketidakadilan juga berpunca daripada pelantikan idividu ke jawatan penting, tidak kira dalam politik atau pentadbiran, malah ianya berlaku dalam banyak agensi dan organisasi kerajaan.”
       Beliau memberi contoh apa yang berlaku dalam bidang pendidikan Melayu -  yang katanya “satu bidang yang begitu dekat di hati saya”.
       Katanya, “ Kita seringkali mendapati kepimpinan Melayu masih terus terikat dengan pemikiran dan pendekatan ‘lama’ di mana mereka yang dilantik bukanlah dari kalangan pegawai Melayu yang memiliki merit akademik, kecekapan atau tahap profesionalisme yang tinggi, tetapi sebaliknya mereka dinilai sebagai ‘orang kuat parti’ atau mempunyai ‘penaung politik’ yang berpengaruh bes
       TS Arshad memberi contoh perlantikan Guru Besar, Pengarah Pendidikan
peringkat daerah dan negeri dan Naib Canselor di IPTA. Soalnya, “Apa yang
akan terjadi sekiranya seorang pegawai Melayu yang tidak layak dan tidak
kompeten diberikan tanggungjawab besar ‘membantu’ orang Melayu menerapkan
budaya ilmu dan kecemerlangan sekiranya pegawai itu sendiri tidak cemerlang
dan tidak berintegriti?” Ini contoh yang amat sirius. Saya kira pasti beliau ada
buktinya kerana bidang ini paling dekat di hatinya.
       “Begitu juga dalam sektor lain di mana  pegawai awam yang korup dan tidak cekap, bertanggungjawab menguruskan permohonan golongan berpendapatan rendah atau setinggan yang ingin memiliki flat kos rendah. Terlalu banyak contoh yang kita tahu dimana ada pemohon yang layak tetapi gagal dalam permohonan mereka kerana tidak mampu membayar ‘duit kopi’ atau tidak mempunyai hubungan politik dengan wakil rakyat atau menteri, dan mereka ini akhirnya dianaktirikan dan terpinggir.” Maka “golongan yang layak dan dipinggirkan inilah kemudiannya dikatakan yang membawa ‘masalah’ dan seterusnya perpecahan dalam sesebuah komuniti.”
      Kisah kongkalikong dalam pengagihan rumah rakyat ini memang cerita biasa di kalangan golongan miskin yang memohon rumah murah kerajaan maupun swasta. Hal begini terjadi juga dalam ‘pengagihan’ pelbagai lesen, projek dan kontrak kerajaan. Dalam kempen “reformasi” Anwar Ibrahim di sebut amalan “kronisme”, yang sebenarnya banyak juga terjadi dalam zaman Anwar jadi Menteri Pelajaran, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Akibatnya, rasa teraniaya dan terpinggir menimbulkan kebencian dan permusuhan terhadap kerajaan, terutama UMNO yang pemimpinnya banyak memegang potpolio penting.
        Cerita TS Arshad lagi,“Saya sendiri mempunyai pengalaman dalam pelantikan seorang Timbalan Naib Canselor di mana disebabkan pengaruh dan desakan politik kumpulan tertentu, seorang menteri (yang ‘insecure’ ) melantik calon yang bermasalah dan ‘mediocre’ memegang jawatan penting dalam menjaga hal ehwal dan kebajikan pelajar.”
       Katanya lagi,”Implikasi dari ini semua adalah pembiakan satu budaya ‘ampu bodek’ dan naungan atau ‘patronage’ yang jelas tidak sihat dan tidak membantu ke arah perpaduan Melayu. Inilah punca sebenar kekalutan dan apa yang dikatakan sebagai ‘perpecahan’ yang dihadapi oleh komuniti Melayu pada hari ini.”
        Kesimpulannya, “Hakikatnya, kegagalan kepimpinan politik dan pentadbiran untuk menangani pelbagai ketidakadilan dan kepincangan yang wujud dalam sistem ‘patron-client network’ inilah yang memecah-belahkan dan memporak-perandakan orang Melayu dan masyarakat keseluruhannya.”
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------“ Kita sudah ada ‘Tuan-tuan Melayu’ di parlimen, kementerian, jabatan dan agensi kerajaan. Persoalannya adakah ‘Tuan-tuan Melayu’ ini faham dan menghayati amanah dan tanggungjawab mereka?  Adakah kita memiliki  pemimpin politik dan pentadbir Melayu yang berintegriti, berilmu, memiliki keyakinan diri yang tinggi dan berjiwa rakyat? Atau adakah pemimpin politik dan pentadbir kita masih suka melatah bila ditegur, angkuh, berlagak pandai dan tidak sensitif dengan masalah dan keresahan rakyat?”
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
       Pada bahagian akhir ucapan ini beliau menekankan, “ Sudah pasti kepimpinan elit politik dan pentadbir Melayu mestilah terdiri dari kalangan individu yang berintegriti  (ethical ), berilmu (knowledgable), memiliki keyakinan diri yang tinggi (high level of confidence ) dan ‘berjiwa rakyat’.
        “Persoalannya adakah kita memiliki kumpulan pemimpin politik dan pentadbir Melayu yang memiliki ciri-ciri kepimpinan seperti ini? Atau adakah pemimpin politik dan pentadbir kita masih lagi dari kalangan yang suka melatah bila ditegur, angkuh, berlagak pandai dan tidak sensitif dengan masalah dan keresahan rakyat?”
       Dan beliau menutup ucapannya: “Kegagalan untuk berubah dan masih ingin melawan arus akan mengakibatkan rakyat menolak pendekatan kepimpinan politik Melayu yang sempit dan lapuk.”
        Berdasarkan petikan ini jelaslah mengapa beliau mengundi pembangkang dan merasa undinya pada 3 Mac 2008 itu lebih berharga.

Tuan-Tuan Melayu di Parlimen dan di Kementerian
 Dalam kertas “Isu dan Cabaran Ketuanan Melayu” yang dibentangkan pada seminar di UiTM, Shah Alam, 16 Jun 2008 - tiga setengah bulan setelah PRU Ke-12 – TS Arshad mengatakan:
      “Tidak dapat dinafikan, keputusan memeranjatkan pada malam 8 Mac 2008 lalu telah memberikan satu impak pasikologi yang begitu kuat ke atas minda orang Melayu, bahawa masyarakat Melayu telah berpecah dan kekuasaan politik Melayu semakin terhakis.”       
       Maka “Lanjutan daripada itu, ada di kalangan orang Melayu merasakan konsep ‘ketuanan Melayu’ yang didokong sekian lama turut diperdebatkan  dan dipertikaikan oleh pelbagai pihak, khususnya orang-orang  politik, yang mana akhirnya ramai orang Melayu sendiri merasakan mereka tidak lagi menjadi ‘tuan’ di bumi sendiri.”
        TS Arshad berpendapat isu ini tak perlu terus dipolemikkan. “Sekiranya kita merasa orang Melayu kini berada dalam bahaya (under siege ), hendaklah kita bangkit meneruskan agenda pembangunan Melayu, khusus dalam bidang pendidikan dan ekonomi….. yang perlu dikhuatirkan bukanlah sama ada kita kekal sebagai ‘tuan’ atau tidak, tetapi cabaran yang lebih besar, adakah kita mampu  meneroka idea atau ilmu serta kemahiran dalam bidang baru yang dapat menjana pembangunan ekonomi.”
        Ditegaskan, “Tidak ada maknanya kita merasakan diri sebagai ‘tuan’ di negara sendiri tetapi kedudukan atau status kita terus diperlekehkan oleh bangsa atau komuniti lain.”
         Katanya, “Kejayaan DEB dalam dekad 1970an” adalah kerana “gandingan mantap antara elit politik dan pentadbir awam Melayu yang begitu komited”. Hasilnya kadar kemiskinan orang Melayu menurun “disamping meningkatkan penyertaan Melayui dalam  bidang profesional dan perniagaan dalam masa yang singkat.”
      “Malangnya selepas kejayaan 10 tahun pertama, barisan baru kepimpinan politik dan juga pentadbir awam Melayu tidak lagi menjiwai aspirasi murni DEB sepenuhnya.” Terlintas dalam fikiran saya, benarkah begitu?
     Akibatnya , “Dalam dekad 1980an muncul kumpulan ‘Melayu baru’ yang mengambil pendekatan ‘tangkap muat, pasang siap’ dalam menjalankan perniagaan.” Justeru pada penelitian beliau, pada dekad 1980an-1990an pelaksanaan DEB tidak membawa kesan yang positif. “Dasar dan pendekatan kepimpinan politik era 1980an dan seterusnya, berjaya melahirkan kelas Melayu korporat yang hanya mementingkan diri sendiri.” Tambahnya “Tun Dr. Mahathir sendiri pernah meluahkan rasa kekecewaan beliau terhadap sikap mementingkan diri ini.”
     Tanggapan ini rasanya kurang  tepat, kerana dalam era dua dekad itu kita mengalami lonjakan terhebat , tidak saja dalam pelbagai aspek ekonomi dan pembangunan prasarana, tetapi juga dalam bidang pendidikan di mana TNB, Talikom dan Petronas umpamanya ikut mendirikan universiti, terutama untuk anak-anak Melayu. Universiti baru membuka bidang pengajian baru dan universiti lama diremajakan. Jumlah orang Melayu dalam pelbagai bidang perniagaan dan profesional  juga ikut melonjak, meskipun memang ada yang  mementingkn diri, gagal dan tercicir di tengah jalan. Minda Melayu telah banyak berubah, walaupun kata Dr. Mahathir beliau gagal kerana orang Melayu masih bergantung kepada “tongkat” kerajaan.
       Dalam kertas seminar “Political and Administrative Leadership in Action” beliau menyebut: “As the fourth Prime Minister of Malaysia, Tun Dr Mahathir is best remembered for making Malaysia take a quantum leap towards modernisation and setting it on the road to developed status.” ( Hal. 157)
      TS Arshad menutup percakapannya mengenai ketuanan Melayu ini dengan sindiran-provokasi-cabaran yang juga tajam:
      “Sebenarnya kita sudah ada ‘Tuan-tuan Melayu’ di parlimen dan juga, yang meneraju pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan di peringkat tempatan, negeri dan nasional.
      “Adakah ‘Tuan-tuan Melayu’ ini faham dan menghayati amanah, peranan dan tanggungjawab mereka dalam  membangunkan negara, khusus dalam meningkatkan prestasi akademik dan penyertaan Melayu dalam perniagaan dan sektor korporat?
        “Masihkah wujud rasa keinsafan dan semangat dalam jiwa pemimpin politik, pentadbir dan korporat Melayu untuk terus membina dan memartabatkan keudukan bangsa Melayu, bukan saja di bumi sendiri, malah di peringkat global?”
       Pemimpin politik dan GLC, pentadbir awam dan korporat Melayu yang prihatin, wajib  menjawab pertanyaan TS Arshad ini dengan melakukan tindakan yang positif. Masa untuk terus berpolemik dan tuduh menuduh mana-mana pihak - sama ada kepimpinan  politik maupun pentabir awam – tidak ada lagi. Kita sudah terlalu banyak berpolitik, salah-menyalah, asyik membuat laporan polis, berdebat soal remeh-temeh, tetapi kurang berfikir dan bertindak positif untuk bangsa. Kepentingan diri – politik maupun material – menyebabkan semangat kepartian dan kronisme telah mengatasi semangat kebangsaan.  

Gandingan Kepimpinan Politik dan Pentadbir Awam
 Seperti dalam dua ucapannya di atas, dalam kertas “Cabaran kepada Kepimpinan dan Anggota Perkhidmatan Awam” ( 30 April 2009 ), TS Arshad masih juga bertitik-tolak dari keputusan PRU 2008. Ternyata sekali pilihan raya itu tidak saja memberi impak mendalam kepada rakyat umum, tetapi juga kepada cendekiawan seperti beliau - meskipun waktu itu setahun telah berlalu.
         Sekali lagi beliau menegaskan – dengan ayat yang berbeza tetapi mesej yang sama -  bahawa “rakyat jelata telah bertindak nekad memberi undi kepada pembangkang dan sekali gus, menolak kerajaan BN yang dikatakan semakin ‘out of touch’ dengan realiti sebenar kehidupan masyarakat, Melayu dan juga bukan Melayu.” Dalam situasi inilah beliau merasakan undinya lebih bernilai.
        Berkaitan dengan pegawai pentadbiran awam, beliau meluahkan perasaan: “Jika saya seorang pegwai kerajaan, sama ada di peringkat pengurusan atau sokongan, saya mungkin merasa kurang senang atau kurang selesa dengan keadaan di mana kerajaan Pakatan Rakyat meneraju kerajaan negeri manakala kerajaan pusat masih lagi dikuasai BN.”
        Beliau mengemukakan beberapa impak, cabaran dan kemungkinan konflik yang akan berlaku di kalangan penjawat awam apabila kerajaan negeri dan pusat di bawah pemerintah yang berlainan parti. (Hal.144)
       Namun beliau mengingatkan “anggota pentadbiran awam perlu mengamalkan sikap profesional dan kekecualian politik. Tidak boleh prejudis atau memihak dalam  menjalankan tugas…. Perlu disedari oleh setiap pentadbir awam ‘politicians come and go’ manakala pentadbir awam kekal sehingga bersara atau ke akhir hayat.”
       “Dalam banyak perkara dan keadaan, ahli politik, bukannya pentadbir awam lebih mudah dipersalahkan oleh rakyat apabila sesuatu program mengalami kesulitan atau kegagalan. Prestasi seseorang wakil rakyat atau menteri diukur melalui kejayaan atau kegagalan polisi atau program awam yang dilaksanakan oleh golongan pentadbir awam.
 Kesimpulan                  
(1)  Jika kepimpinan Melayu bercita-cita meneruskan kepimpinan negara, mereka mestilah betul-betul memiliki pemikiran dan wawasan baru. Pemimpin yang sudah tiga penggal jadi YB wajib dicari ganti.  Kehilangan dominasi di lima buah negeri dan juga Kuala Lumpur dan dua pertiga majoriti di parlimen, dan juga perpecahan Melayu, adalah disebabkan oleh kesalahan pemimpin Melayu. Budaya ‘ampu bodek’, politik naungan dan pemimpin mengejar wang, meruntuhkan daya-kekuatan bangsa Melayu.
(2)  Menyerahkan tugas memimpin dan mentadbir negara kepada orang yang tidak berintegriti, tidak kompeten, tidak amanah, menyebabkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Penyelewengan dalam  syarikat gergasi Sime Darby, penipuan dalam kes PKTZ di Kelang yang melibatkan tokoh-tokoh besar (menteri), kes penahanan puluhan pegawai imigresyen dan kastam baru-baru ini, sangat menusuk hati dan fikiran rakyat. Bahawa yang terlibat semuanya Melayu, telah menjatuhkan lagi maruah dan kredibiliti bangsa Melayu. Masih layakkah kita jadi ‘tuan’?
(3)  Keputusan PRU 2008 telah meninggalkan implikasi politik yang negatif di kalangan semua rakyat. Kuasa politik Melayu nampak mula terhakis. Namun yang perlu, bukanlah berdebat sama ada bangsa Melayu jadi ‘tuan’ atau tidak, sama ada Pas betul, UMNO yang salah;  tetapi usaha sirius yang berterusan mempertingkatkan kemampuan ilmu (keterampilan dan kepakaran baru),  penguasaan ekonomi dan politik.
(4)  TS Arshad menegaskan perlunya gandingan dan komitmen bersama pemimpin politik dan pentadbiran awam. Aspek ini tak pernah dibincang secara terbuka. Ada kala, dalam hubungan dua institusi pentuing ini, terjadi konflik yang merugikan rakyat.  Maka beliau merumuskan: “Sesungguhnya kejayaan sesebuah bangsa dan negara  terletak di atas kewibawaan kepimpinan politik dan juga pentadbir awam yang berintegriti, berwawasan dan komited kepada perjuangan bangsa.”
(5)   Impak dari PRU 2008 kepada BN jadi beban paling berat kepada Datuk Seri Najib. Dan tindakan beliau “mendahulukan rakyat, mengutamakan pencapaian”, siap dengan ukuran KPI, secara tak langsung telah menjawab cabaran TS Arshad. Hasilnya nanti akan terserlah pada PRU Ke-13, yang sekali gus akan  menentukan masa depan BN, terutama masa depan Datuk Najib dan kepimpinan Melayu.   

5 comments:

  1. Tokoh sehebat Tan Sri Arshad Ayub ini mungkin melaksanakan kewajipannya sebagai pengundi dengan berfikir lebih kepada keagamaan berbanding politik. Barangkali tokoh ini sudah termakan dengan dasar perjuangan parti Islam itu. Mungkin juga ada sebab lain yang hanya tokoh itu saja yang tahu.

    ReplyDelete
  2. Pro generasi muda24 May 2011 at 17:29

    Satu pengajaran buat UMNO supaya to walk the talk. Jangan hari ini cakap nak buah esok lupa sakan. Kalau orang setokoh Tan Sri Arsyad Ayub boleh menilai sikap dan tingkah laku UMNO bagaiman pula halnya dengan generasi muda yang menganggap segala bantuan kerajan itu berupa satu kewajipan, bukan satu obligasi.

    ReplyDelete
  3. Tahniah pada Noor Azam di atas kemunculan blognya yang dikira baru ini. Semoga sdr. akan menulis dan mengupas berbagai topik sebagaimana telah sdr. lakukan dalam ruangan "Perspektif" dalam Dewan Masyarakat satu ketika dulu. Semoga stail kritikan dan ketajaman pena sdr seperti dulu juga.

    ReplyDelete
  4. Tuan Noor Azam,

    Pedulikan simpati/sokongan kepartian tuan.

    Jadikanlah blog tuan boleh dibaca oleh semua Orang Melayu. Biar di sinilah bermulanya benih persefahaman Melayu.

    Di blog ini tuan tidak perlu condong kpd UMNO kerana UMNO telah ada akhbarnya.

    Di blog ini tuan tidak perlu simpati kpd PAS kerana PAS telah ada akhbarnya.

    Diblog ini...........Keadilan...........Keadilan
    telah ada akhbarnya.

    ReplyDelete
  5. Cakap lah apa pun oleh tokoh2 sehebat mana pun yang penting semua peringkat melayu tak kira dari fahaman dan kumpulan parti mana perlu lah bersatu.TS Arshad mungkin boleh dan pandai berhujah kerana itu lah kepakaran beliau.Tapi untuk bercakap dalam masa sama melaksanakan apa yang dicakap bukan semudah itu.Kalau TS masih belum dapat menilai serta menghargai apa yang telah beliau nikmati selama ini hasil dari usaha gigih pmimpi2n dulu dan sekarang ,TS tak ada beza langsung dengan puak2 lain yang sentiasa melihat akan keburukan Kjaan sekarang semata2 daripada melihat terlalu banyak yang telah sedang dan akan dlakukan demi faedah bangsa,Agama dan Negara.Tak pernahkah terlintas untuk bertanya apa yang telah dan sedang kita nikmati sejak slepas merdeka ini hasil dari mana???Pepatah Melayu sudah lama ada :kacang lupakan kulit,kuman seberang laut nampak ,gajah depan mata tak nampak,mengetuk dulang paku serpih,tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima,menepok air di dulang jangan sampai terpericik di muka sendiri,dimana langit dijunjung disitulah bumi di pijak,rumah sudah pahat berbunyi dan banyak lagi.Spt juga yang pernah dperkatakan oleh salah sorang bekas Presiden Amerika iaitu 'dont ask what the country can do for you but ask what you can do for your country. Jadi tidak susah untuk membayangkan apa sebenarnya yang cuba disampaikan dalam komen ini,jika melayu betul2 boleh bersatu kita tak perlu melayani permintaan yang bukan2 oleh kaum pendatang .

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...