Saturday 30 April 2011

DARI SARAWAK KE PUTRAJAYA?

Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd. Najib Tun Razak.


Rencana ini disiarkan dalam Utusan Malaysia sembilan hari sebelum berlangsungnya Pilihanraya Negeri Sarawak pada 16 April 2011 - M. Noor Azam.

PADA malam 16 April nanti rakyat Sarawak akan dapat kerajaan baru, sama ada kerajaan lama yang diperbaharui atau kerajaan yang betul-betul baru. Kerajaan lama terdiri daripada parti-parti yang lahir dan mati-hidup di Sarawak. Kerajaan baru kecuali SNAP adalah parti pendatang dan semua pemimpin besarnya dari Semenanjung.
Kata orang tua-tua, 'Berapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul'. Demikianlah, rakyat Sarawak sendiri dan pemimpin parti-parti Sarawak sendiri yang lebih tahu susah-senang mereka selama ini. Rakyat Sarawak tentulah akan memilih orang yang benar-benar tahu dan dapat merasa beban hidup yang mereka pikul, bukan orang yang datang sekali sekala untuk berpidato.

Jika fikiran mereka tenang dan pertimbangan mereka waras, pastilah mereka akan memilih pemimpin yang hidup bersama mereka dan kerajaan yang dekat di hati mereka. Siapa yang dapat memenangi hati dan fikiran pengundi dan bertindak merawat denyutan nadi kehidupan rakyat, pasti akan terpilih.

Ini tidaklah susah jika kerajaan Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang memerintah lebih 30 tahun, sentiasa memelihara rakyat yang sebenarnya tidaklah banyak sangat yang dipinta. Tetapi kiranya 30 tahun lamanya kepentingan, perasaan, fikiran dan persepsi rakyat dilupakan, pastilah kritik, tohmahan dan janji pembangkang melekat di hati rakyat.

Persepsi umum, walaupun tidak semesti semuanya benar, jika diperlekehkan pastilah peristiwa 8 Mac 2008 akan berulang.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini menjadi lebih penting kerana ia adalah permulaan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13. Jika kesemua 16 Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas PRU-12, adalah ujian untuk mengukur pengaruh BN dan parti-parti pembangkang, PRN Sarawak adalah permulaan persaingan sengit pihak pembangkang untuk menawan Putrajaya dan BN pula berusaha mempertahankannya. Datuk Seri Najib Tun Razak pun kata, PRN Sarawak ini akan menentukan bilakah PRU-13 akan diadakan.

Jika 16 September 2008 adalah percubaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk masuk ke Putrajaya melalui jalan pintas, PRN ini yang pertama kali selepas PRU-12 akan menentukan jaya atau tidaknya cita-cita politik Anwar itu dicapai menerusi jalan biasa. Ini adalah pertarungan sebenar, bukan lagi ujian pengaruh. Maka Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, awal-awal lagi turun ke medan pertempuran.

Ada yang menyebut Najib menggambarkan PRU-13 nanti sebagai 'do-or-die battle for the ruling group'. Sekiranya benar Najib berkata begitu, maka pertempuran hidup atau mati itu sudah bermula di Sarawak.
Kalau parti pembangkang dan Snap tidak berjaya menawan Sarawak, atau sekurang-kurangnya mendapat kemenangan besar, cita-cita Anwar akan mati di situ. Dengan Abdul Taib sebagai panglima medan dan imej positif Najib sekarang, saya melihat Anwar yang berada dalam situasi hidup atau mati, bukan BN dan Najib.
Bagaimanapun, jika iklim politik sekarang dan PRN Sarawak 2006 dijadikan landasan, kedudukan BN tidak boleh dikatakan selesa. Dalam PRN itu anggota BN, Sarawak United People's Parti (SUPP) yang didominasi kaum Cina, tewas lapan kerusi kepada DAP. Bagaimana SUPP, salah satu parti kelahiran Sarawak yang tertua boleh tewas kepada pendatang baru, DAP dari Semenanjung? Apakah ini akan berulang?

Persepsi dan perasaan umum terhadap kerajaan, menjadikan iklim politik di Semenanjung dan juga di Sarawak, masih belum begitu nyaman untuk BN. Generasi muda terutama pengundi bandar dan pinggir bandar sangat percaya kerajaan sekarang tidak telus dan tidak bersih. Dikatakan masih banyak rasuah dan penyelewengan wang dan harta benda rakyat.

Generasi muda tidak sabar menunggu perubahan pimpinan parti dan kerajaan. Mereka sangat ingin melihat pemimpin-pemimpin baru yang berwibawa, bersih dan berkaliber ditampilkan ke depan. Pemimpin lama dirasakan semakin jauh dari mereka. Namun pengalaman masa lalu dan apa yang mereka nampak jelas, perubahan ini tak mungkin tiba. Ditambah dengan faktor kaum, mesej daripada iklim politik baru ini, sudah mulai diterjemahkan dalam PRK Sibu kira-kira 10 bulan yang lalu.

Kemenangan tipis DAP di Sibu, kubu kuat BN sudah cukup membakar semangat penyokong pembangkang, khususnya Cina dan pribumi bukan Islam. Isu-isu sensitif kecil seperti penggunaan perkataan Allah dan Injil dalam bahasa Melayu pasti akan dieksploitasi oleh pihak pembangkang. Maka keputusan BN Sarawak meletakkan 18 muka baru, tentu memberi kesan yang positif.

Sebenarnya apa yang terjadi kepada SUPP dalam PRN Sarawak 2006 itu sudah pun jadi petunjuk kepada apa yang bakal berlaku di Semenanjung pada PRU 2008.

Kalau apa yang terjadi di Sarawak pada 2006 itu diberi perhatian serius, kekalahan menyakitkan yang dialami oleh MCA dan Gerakan di Semenanjung pada PRU-12, mungkin tidak berlaku.

Malangnya, kemenangan BN paling hebat pada 2004 menjadikan pemimpin dan wakil rakyat BN , khususnya MCA dan Gerakan, senang dan leka. Nyatalah, kekuasaan dan kemewahan menyebabkan manusia lupa diri.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...